"PENCARIAN JAMINAN KEHIDUPAN YANG KEKAL."
DITULIS DALAM BAHASA MALAYSIA
883 words


Semua orang di dunia mempunyai kepercayaan masing-masing mengikut kehendak sendiri atau mengikut kepercayaaan yang dianuti oleh keluarga sejak turun temurun. Setiap kepercayaan yang dianuti mengajar tentang kewujudan syurga dan neraka: syurga adalah untuk orang yang baik dan neraka adalah untuk orang yang jahat mengikut ajaran agama di dunia.. Namun persoalannya adalah, adakah kepercayaan kita dalam  setiap agama yang dianuti masing-masing dapat menjamin kehidupan kita pada masa kita sudah mati? Adakah kita tahu kemana kita akan pergi selepas kita mati? Adakah perkara yang kita lakukan di dunia ini baik atau tidak, betul atau salah? Adakah kita benar-benar tahu siapa Pencipta kita? Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran setiap orang yang ingin mencari kebenaran dalam kepercayaan yang dapat menjamin kehidupan yang kekal.

Saya adalah salah seorang yang menginginkan jaminan hidup yang kekal, namun saya tidak tahu bagaimana saya boleh memperolehi kehidupan kekal. Sesetengah orang berpendapat bahawa mempunyai kepercayaan dan agama ini adalah hanya satu syarat dan hanya disebabkan mengikut ahli keluarga, sekaligus mempunyai kepercayaan dan agama juga bermaksud seseorang itu akan pergi ke syurga atau neraka selepas mati berdasarkan perbuatan yang dilakukan di dunia semasa masih hidup, sekiranya kita membuat perkara yang baik lebih banyak dari yang jahat maka kita akan masuk syurga dan begitu juga sebaliknya.

Disini saya ingin menceritakan bagaimana saya  mula mengenal, menerima dan mempercayai Tuhan dalam kehidupan saya. Latar belakang kepercayaan dan agama keluarga saya ialah Roman Catholic (RC). Namun saya tidak pernah mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung dalam agama RC malah saya juga tidak tahu bagaimana cara berdoa kepada Tuhan. Hanya satu perkara yang saya tahu iaitu Jesus disalibkan kerana dosa manusia, akan tetapi pemahaman saya tentang kematian Jesus adalah Dia telah mati untuk manusia hanya kerana manusia berdosa namun saya tidak tahu bahawa kematian Jesus adalah untuk menebus dosa manusia dan membawa manusia dekat kepada Tuhan.

Pada tahun 2011 saya mula mengikuti perjumpaan yang hanya dipanggil perjumpaan Christian yang dikendalikan oleh seorang saudara Christian semasa dia berkunjung ke Kapit. Ia bermula dengan pelawaan dari kakak saya yang menjemput saya untuk hadir ke perjumpaan tersebut. Pada awalnya saya tidak memahami erti perjumpaan itu, kenapa setiap orang lelaki perlu berdoa (saudara lelaki), kenapa perempuan memakai tudung kepala, kenapa mereka bernyanyi tanpa iringan alat musik tidak sepertimana yang dilakukan di bangunan gereja penganut RC dan persoalan yang berada di minda saya ialah kenapa perkumpulan ini hanya dipanggil Christian, kenapa tiada nama khas  seperti agama-agama lain. Namun saya tetap mengikuti perjumpaan tersebut walaupun banyak persoalan yang berada di fikiran saya. Perlahan-lahan semua persoalan yang ada di minda saya terjawab. Setiap kali semasa perjumpaan, saudara Christian tersebut sentiasa memberitakan injil Tuhan. Dari situlah saya belajar dan mengetahui bagaimana untuk berdoa dan membuka firman Tuhan di Alkitab. Walaupun saya faham dan mengetahui semua itu namun hati dan perasaan saya masih lagi tidak terbuka untuk menerima dan percaya kepada Jesus. Saya tahu manusia berdosa dan Jesus telah mati untuk menebus dosa manusia dan telah bangkit semula, namun saya tidak pernah mahu mengaku Jesus mati untuk dosa saya. Saya sentiasa berfikir bahawa selagi saya berbuat baik maka saya akan masuk ke syurga.

Pada 23 Oktober 2011, saya mengalami sakit yang membuatkan saya merasa hidup manusia di dunia boleh hilang dalam masa yang singkat. Dalam kegelapan lampu yang telah ditutup, di atas katil yang dikongsi dengan rakan, saya terbaring menahan kesakitan. Pada masa itulah saya mengimbas kembali hidup saya yang berdosa dan tidak mengenal siapa Juruselamat yang telah mati untuk menebus dosa saya. Oleh itu, hati dan fikiran saya tergerak untuk berdoa kepada Tuhan.

Selagi ada hari ini dan saya ada peluang untuk berdoa kepada Tuhan kenapa tidak hari ini saya berdoa. Pada saat itu juga saya berdoa, “Tuhan Bapa kami yang ada di syurga, terpujilah nama Engkau yang mulia, terima kasih Tuhan kerana kasihMu, Engkau telah memberi peluang untuk saya terus hidup pada hari ini, Tuhan saya berdoa kepada Engkau, ampunilah dosa saya, saya tahu saya tidak layak bersama dengan Mu, saya hanyalah debu dan abu namun kerana kasih, Engkau  telah memberi Anak-Mu yang tunggal untuk menebus saya yang berdosa, kerana hanya dengan darah suci Anak-Mu Lord Jesus yang mati di Kayu Salib saya dapat diselamatkan. Dia sanggup dihina dan dicaci untuk menyelamatkan pendosa seperti saya. Saya percaya Tuhan bahawa kematian dan kebangkitan Lord Jesus selepas 3 hari 3 malam dapat menyelamatkan saya dan memberi saya hidup yang kekal, saya tahu bahawa kerja baik saya tidak dapat menyelamatkan saya melainkan hanya percaya kepada Lord Jesus yang mati sebagai Penebus dosa saya. Semua  doa ini saya serahkan di dalam nama yang termulia Lord Jesus. Amin”.
Selesai berdoa, hati saya sangat bersukacita dan bergembira. Perasaan saya yang sukar digambarkan dan rasa bersyukur di dalam diri kerana mata, fikiran dan hati saya yang tadi buta kini sudah dapat melihat dengan jelas jalan kehidupan di dalam Tuhan. Selama ini saya hanya berfikir bahawa cukup dengan hanya membuat kerja baik kita layak masuk ke dalam syurga. Namun kerja baik tanpa Mengenal, Menerima dan Mempercayai Tuhan dalam hidup kita secara peribadi hanyalah sia-sia. Kerana untuk datang kepada Tuhan kita perlu disucikan dengan darah yang suci iaitu darah Jesus yang mati untuk menebus dosa kita. Bukan itu sahaja, kita juga perlu yakin percaya dan menerima Lord Jesus dengan hati yang tulus dalam hidup kita sebagai Juruselamat yang telah memberikan nyawaNya untuk membawa kita dekat dengan Tuhan.


______ End