"KISAH KESELAMATAN PERIBADI SAYA."
DITULIS DALAM BAHASA MALAYSIA
256 words


Pada masa itu, jam hampir menunjukkan pukul 5.00 petang, hujan turun dengan lebat. Saya bersama beberapa orang rakan baharu sahaja selesai membuat perbincangan secara berkumpulan di Blok Kuliah. Oleh kerana terlupa membawa payung, saya mengambil keputusan untuk berlari ke arah bangunan asrama yang hanya mengambil masa 5 minit sahaja daripada Blok Kuliah.
Semasa berlari, tiba-tiba kilat memancar betul-betul berada di hadapan mata saya dan seolah-olah sangat dekat dengan saya. Terdetik di fikiran saya pada masa itu, apakah yang akan terjadi sekiranya kilat tersebut terkena badan saya? Sudah pasti saya akan mati terkena pancaran kilat. Jika saya mati, kemana roh saya akan pergi? Adakah saya akan pergi ke syurga atau neraka? Itu antara persoalan yang bermain di minda saya.
Setelah berada di bilik asrama, saya masih teringat akan kejadian yang berlaku. Masih terngiang-ngiang di telinga saya petikan daripada ayat ini, “I am the way, the truth, and the life: no man cometh unto the Father, but by me.” Saya tidak tahu di mana saya pernah terbaca ayat ini. Saya membuka Bible dan mencari ayat tersebut dan menjumpainya, John 14:6 !
Seminggu sebelum kejadian tersebut, saya pernah menyertai perjumpaan bersama jemaah di Kuching dan salah seorang saudara di sana pernah berkongsi beberapa ayat daripada Firman Tuhan dan salah satu daripadanya ialah John 14:6.
Ayat inilah yang telah menyedarkan saya bahawa Lord Jesus Christ merupakan jalan dan kunci keselamatan saya pada hari itu kerana hanya dengan percaya dan menerima Lord Jesus Christ sebagai Juruselamat saya dapat diselamatkan daripada cara kehidupan saya pada masa sebelumnya.

Tarikh: Selasa, 21 Jun 2016.


______ End